Free Web Site - Free Web Space and Site Hosting - Web Hosting - Internet Store and Ecommerce Solution Provider - High Speed Internet
Search the Web

Kaedah kaunseling 1
Puan Asmah Bee Mohd Noor

Sejak kemunculan bidang ilmu kaunseling, terdapat kira-kira 200 pendekatan yang boleh digunakan untuk memberi kaunseling pada individu yang memerlukannya. Kaunselor yang luas pengalamannya akan memilih teori-teori yang dapat disesuaikan dengan permasalahan yang dihadapi oleh klien agar bidang masalah yang dihadapi oleh klien dapat diatasi dengan berkesan. Daripada banyaknya bidang pendekatan itu, dapat dikumpulkan ke dalam empat kategori pendekatan iaitu:

1. Pendekatan psikoanalitik
2. Pendekatan kognitif
3. Pendekatan afektif
4. Pendekatan tingkah laku

Pendekatan Psikoanalitik

Diperkenalkan oleh Sigmund Freud yang berlatar belakangkan kehidupan Yahudi. Beliau telah memperkenalkan konsep assosiasi-bebas (free-assosiation) selepas berjaya dalam amalan hipnotisa (hypnosis). Freud menggunakan kaedah assosiasi untuk menerokai minda tidak sedar manusia. Dalam pendekatan psikoanalitiknya, Freud memberikan penegasan dan percaya bahawa personaliti individu dapat diketahui melalui kajian minda tidak sedar yang dipunyai.

Pada pandangan Freud, manusia secara fitrahnya bersifat dinamik iaitu terdapat perpindahan atau transformasi dan pertukaran tenaga dalam pembentukan personaliti manusia. Pendapat-pendapat yang diutarakan oleh Freud terbukti secara saintifik kini.

Kaunselor profesional yang mengamalkan pendekatan psikoanalitik akan menggalakkan klien mereka memerihalkan dan bercakap apa sahaja yang datang dalam ingatan, terutama sekali peristiwa-peristiwa yang dilalui semasa berada di tahap kanak-kanak. Melalui pendekatan ini kaunselor cuma membentuk persekitaran atau atmosfera di mana klien akan merasai bebas untuk melahirkan isi hatinya.

Pendekatan inu mempunyai pelbagai komplikasi dan kompleksiti. Arlow (1984) menyatakan bahawa pendekatan psikoanalitik berjaya digunakan untuk mengatasi mereka yang mempunyai pelbagai kecelaruan termasuklah gangguan histeria, narcissism, reaksi obsessif-kompulsif, kecelaruan peribadi, ketakutan, phobia dan kecelaruan seksual.
 

Pendekatan Kognitif

Ahli kaunseling menggunakan pendekatan kognitif dengan memberikan tumpuan kepada pemikiran manusia (thinking). Ahli teori kognitif percaya bahawa pemikiran mempengaruhi perasaan dan tingkah laku manusia. Jika individu mengubah cara berfikir, perasaan dan tingkah lakunya juga akan mengalami perubahan melalui modifikasi tingkah laku. Salah satu pendekatan kognitif yang popular telah dikembangkan oleh Albert Ellis (1962) yang dikenali sebagai terapi emotif-rasional atau RET (Rational-Emotive Therapy). Albert membesar dalam keluarga Yahudi di Pittsburg, Amerika Syarikat. Di usia remajanya, beliau menjadi atheist disebabkan perceraian kedua ibu bapanya.

Terapi emotif-rasional mengandaikan bahawa manusia secara lahiriah adalah rasional dan tidak rasional, logikal dan gila (crazy). Ellis juga percaya bahawa sifat duaan (duality) secara semulajadi ini diwarisi dan akan terus dipunyai andainya tiada apa-apa pembelajaran berlaku yang akan mengubah cara pemikiran baru pada individu. Ellis telah menggariskan sebelas kepercayaan tidak rasional yang seringkali dipunyai oleh manusia yang menyusahkan dan boleh menimbulkan pelbagai gangguan emosi.

Kaunselor dalam pendekatan RET ini mengambil peranan  yang aktif dan terus (direct). Kaunselor berfungsi untuk menunjuk arah, mengajar dan membetulkan kognisi klien. Ellis telah mengenal pasti beberapa ciri peribadi yang perlu dipunyai oleh kaunselor yang akan menggunakan RET. Mereka haruslah cerdik, berpengetahuan luas, empathetik, tekal, berfikiran saintifik, berminat untuk menolong orang dan merupakan pengguna teknik RET.

Terapi emotif-rasional didapati mudah dilaksanakan dan berkesan. Kaedah ini berkesan untuk digunakan ke atas klien remaja. RET berkesan untuk mengatasi masalah kecelaruan affektif, kecelaruan ketakutan dan penyesuaian. Di samping RET, analisis transaksional (transactional analysis) merupakan juga suatu kaedah dalam pendekatan kognitif.

Dipetik dari Kertas Kerja Metodologi Kaunseling Dalam Menangani Masalah Akidah Umat Islam Masa Kini, Puan Asmah Bee Mohd Noor yang dibentangkan dalam Muzakarah Kaunseling dan Pemantapan Akidah 1999 pada 12 November 1999 bertempat di Langkawi, Kedah.